Meraikan perjalanan seni : THIS IS UNIC: LIVE IN CONCERT untuk peminat bakal berlansung bulan Disember 2025 ini!.
THIS IS UNIC: LIVE IN CONCERT
Setelah lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif. Kumpulan nasyid tersohor UNIC bakal meraikan perjalanan seni mereka melalui konsert istimewa — “This Is UNIC: Live In Concert”. Bakal berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

KONSERT SOLO PERTAMA
Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menandakan satu bab penting dalam perjalanan dua dekad UNIC. Sekaligus menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini — Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.
KEMBALIKAN SEMANGAT NASYID
“Matlamat konsert ini sangat peribadi buat kami. Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal. Kami hendak kembalikan semangat nasyid ke pentas besar, membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,”
-ujar Bazli Hazwan, mewakili UNIC.

PENGEMBARAAN MUZIK DAN JIWA
Tidak sekadar persembahan hiburan, konsert ini dirangka sebagai satu pengembaraan muzik dan jiwa, membawa penonton menyusuri perjalanan UNIC dari awal kemunculan mereka hingga kini.
Setiap segmen persembahan akan disusun berdasarkan fasa sejarah kumpulan ini, membolehkan peminat merasai perkembangan dan warna muzik UNIC sepanjang dua dekad.
FASA EVOLUSI UNIC
“Kami mahu peminat rasa setiap fasa evolusi UNIC — daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar. Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej,”
-kata Dr. Fitri Haris, yang menekankan konsert kali ini menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan.

IRINGAN LIVE BAND
Dengan gabungan susunan muzik moden dan tradisional serta iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, UNIC menjanjikan sebuah pengalaman yang bukan sekadar ditonton, tetapi dihayati sepenuhnya.
“Kami ingin penonton bukan hanya datang untuk menonton, tetapi benar-benar merasai pengalaman konsert ini — daripada visual, bunyi, hingga mesej yang kami ingin sampaikan,”
– ujar Fakhrul Radhi, sambil menambah bahawa persiapan vokal, mental dan fizikal dijalankan dengan teliti demi memastikan persembahan berada di tahap terbaik.
LAGU IKONIK UNIC
Konsert ini bakal menghidupkan semula lagu-lagu ikonik seperti “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah”, dengan sentuhan susunan muzik baharu yang segar.
Selain itu, penonton juga bakal disajikan dengan kejutan istimewa apabila beberapa artis jemputan yang pernah mempunyai kenangan bersama UNIC akan turut serta menghangatkan pentas.
KEJUTAN ISTIMEWA
“Insya-Allah, akan ada kejutan istimewa malam itu. Kami hendak cipta satu suasana yang penuh kasih, bukan hanya antara kami dan peminat, tapi juga dengan rakan-rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” kongsi Bazli.

Penganjuran konsert ini lahir daripada rasa hormat terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik.
“Kami terpanggil untuk merealisasikan konsert ini kerana melihat keikhlasan dan ketekunan UNIC dalam perjuangan mereka. ‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat,”
-kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer.
BUKAN SEKADAR HIBURAN
Selepas lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu — bukan hanya untuk mereka sebagai kumpulan, tetapi juga untuk menghidupkan semula keindahan muzik nasyid di pentas arus perdana.
“Kami harap konsert ini jadi lebih daripada sekadar hiburan. Jika ia mampu meniup semangat baharu kepada peminat dan mengangkat semula martabat muzik nasyid, itu sudah cukup bermakna. Kami nak buktikan nasyid masih ada tempat di hati rakyat Malaysia,”
-kata UNIC sebulat suara.
HARGA TIKET
Tiket bermula dijual secara rasmi pada 17 Oktober 2025 melalui web rasmi dengan harga

● Ainul Mardhiah – RM249
● Hanya Tuhan Yang Tahu – RM 199
● Zinnirah (2nd Level) – RM159
● Mahligai Kasih – RM119
● Balqis (2nd Level) – RM99
● Demi Cinta Suci (2nd Level) – RM89
