Dari Panggung Indonesian Idol ke Kuala Lumpur, Fajar Noor bawa mesej Cinta dalam Tahta Hatiku #Pendampingmu Dan lagu menjaga hati!
FAJAR NOOR
Penyanyi muda bersuara lunak, Fajar Noor, yang berjaya mencuri perhatian jutaan peminat apabila meraih tempat kedua dalam program realiti nyanyian Indonesian Idol musim ke-13 lalu, kini mengorak langkah ke Malaysia menerusi kunjungan promosi pertamanya di Kuala Lumpur.
TAHTA HATIKU #PENDAMPINGMU
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan single sulungnya berjudul Tahta Hatiku dimana ciptaan komposer terkenal Indonesia, Yovie Widianto dan lirik oleh Arsy Widianto
Kehadiran Fajar selama tiga hari di ibu kota disambut hangat oleh media dan peminat tempatan. Siri promosi yang berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos ini menyaksikan pelbagai aktiviti padat termasuk persembahan televisyen, temu bual media, sesi fotografi, serta makan malam eksklusif bersama peminat terpilih.
SINGLE BARU
Single Tahta Hatiku #Pendampingmu membawa mesej mendalam mengenai cinta yang ikhlas yang mana memilih untuk terus mendampingi insan tercinta, meskipun tidak memiliki sepenuhnya. Fajar Noor berkata, dengan kekuatan lirik yang emosional menjadikan lagu ini menyentuh hati pendengar segenap usia.
MENCINTAI DALAM DIAM
“Lagu ini mengenai mencintai dalam diam. Kadang, kita tak selalu dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap ada untuk mereka. Saya percaya ramai orang pernah melalui perasaan itu,” katanya.
“Sebagai penyanyi baru, saya mahu karya saya berbicara lebih kuat daripada kata-kata saya sendiri. Saya tak sangka sambutan lagu ini begitu positif di Indonesia, dan saya harap ia turut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,”
-katanya.
Menurutnya lagi, mesej yang disampaikan dalam lagu ini juga mencerminkan sisi peribadinya yang tidak begitu gemar mengekspresikan cinta secara terbuka, sebaliknya melalui karya dan nyanyian.
LUASKAN EMPAYAR PASARAN SERANTAU
Kunjungan promosi ini turut menjadi penanda awal langkah Fajar untuk meluaskan empayar muziknya ke pasaran serantau, dengan sokongan penuh daripada Universal Music Malaysia dan peminat yang semakin bertambah di platform media sosial dan penstriman digital.
“Saya ingin membina hubungan yang kuat dengan peminat di Malaysia. Ini baru permulaan. Saya
pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,”
Berbekalkan bakat, personaliti rendah diri dan lagu yang menyentuh emosi, Fajar Noor kini bersedia menawan hati peminat Malaysia dan seterusnya, pentas antarabangsa.