Lancar single terbaru dari album terbaru berjudul Pernah Punya Aku by Shila Amzah
SHILA AMZAH
Penyanyi tersohor tanahair, Shila Amzah kembali dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku, sebuah karya peribadi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri. Lagu ini juga menandakan fasa kematangan Shila selepas 25 tahun bergelar anak seni.
PERNAH PUNYA AKU
Pernah Punya Aku adalah buah tangan terbaru Shila selepas berehat panjang daripada berkarya dan hadir dengan penuh emosi serta kejujuran. Mengimbau proses penulisannya, Shila menjelaskan bahawa lagu ini tercipta dalam tempoh hanya dua hari ketika beliau masih dalam tempoh berpantang.
“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami saya menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang saya rasa melalui lagu dan dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,”
-jelas Shila.
GENERVIE KAM
Lagu ini dirakamkan dalam suasana yang sangat positif dan efisien dengan Genervie Kam bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik.
Genervie yang juga merupakan pengarah muzik wanita yang cukup disegani di Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja untuk disiapkan.
“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Beliau memahami saya sebagai seorang artis dan wanita. Proses rakaman sangat lancar dan berkesan,” ujar Shila.
TEMA KEKECEWAAN DAN KESEDIHAN
Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan, beliau tetap menyuntik unsur harapan dan kekuatan agar ia mampu menjadi ruang pemulihan buat para pendengar.
“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.
Berkaitan rapat dengan mesej dalam lagu ini, Shila memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut terlebih dahulu kepada ibunya.
SINGLE PERTAMA DARI ALBUM TERBARU
“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu. Alhamdulillah, menurutnya, lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah beliau rasa,” katanya.
Pernah Punya Aku merupakan single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang akan dikeluarkan hujung tahun ini. Ia menjadi satu cara bagi beliau untuk melepaskan kisah yang terpendam dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, wanita dan anak seni.
Kredibiliti Shila Amzah sebagai seorang komposer terus diiktiraf apabila beliau dipilih menjadi salah seorang komposer sebaris Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok dalam program realiti nyanyian digital terbaharu, Raise The Star Malaysia yang kini bersiaran di Astro Ria.