Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Nasib Si Labu Labi- Labu & Labi Bertinju 127 Pusingan Hanya di TV2 |Saksikan kesinambungan kisah Labu dan Labi dalam “Nasib Si Labu Labi” pada 9 April ini, pukul 9.30 malam menerusi slot Teater Legenda di TV2. Mengisahkan kehidupan keluarga Haji Bakhil setelah kematian isterinya
Sinopsis Nasib Si Labu Labi
Semenjak pemergian isterinya, Haji Bakhil dan Manisah tidak berselera untuk makan. Labu dan Labi, kedua orang gaji juga ikut bersedih tetapi seakan-akan dibuat-buat. Selepas 40 hari kematian isteri, Haji Bakhil jatuh sakit kerana sering teringatkan arwah isterinya, manakala Manisah pula susah untuk lena tidur.
Bagi Labu dan Labi pula, mereka sering bergaduh kerana berebutkan Manisah. Keadaan antara mereka semakin tegang apabila masing-masing menunjukkan gambar pujaan hati mereka, iaitu Manisah. Untuk membuktikan kehebatan diri untuk menjadi pasangan Manisah, mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan tinju bagi menentukan siapa yang layak memiliki Manisah. Namun perlawanan yang berjalan sehingga 127 pusingan tidak dapat menentukan pemenangnya kerana mereka berdua serta pengadilnya pengsan.
Selepas 100 hari kematian isteri, sikap Haji Bakhil mula berubah apabila bertentang mata dengan Cikgu Murni yang hadir di kedainya untuk membeli kain bagi kegunaan sekolah anak-anak yatim. Sekali melihat wajah Cikgu Murni Haji Bakhil jatuh cinta dengan Cikgu Murni dan menghadiahkan kain secara percuma kepadanya. Cikgu Murni menjemput Haji Bakhil ke Majlis Malam Anekaragam yang dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai tanda terima kasih. Semasa penyampaian hadiah kepada pemenang Ratu Kebaya, Haji Bakhil pengsan apabila Cikgu Murni selaku pemenangnya, memberi persetujuan untuk menjadi isteri Haji Bakhil.
Haji Bakhil menyuruh Labu dan Labi pergi masuk meminang Cikgu Murni tetapi pinangannya ditolak oleh bapa Cikgu Murni. Haji Bakhil tidak berputus asa. Dia mengarahkan Labu dan Labi menculik Cikgu Murni dan terus dibawa berjumpa tok kadi. Namun Labu dan Labi tersalah culik. Mereka menculik bapa Cikgu Murni dan hanya menyedarinya setelah sampai di hadapan tok kadi. Haji Bakhil bersama Labu dan Labi berhadapan dengan tindakan mahkamah. Haji Bakhil membayar denda yang hakim tetapkan tetapi Labu dan Labi menerima nasib mereka meringkuk di dalam penjara.
Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.