Malam Terlarang katanya hidupkan ritual mistik dari mitos Nusantara! Betul ke tak kenalah tonton sendiri di pawagam.
MALAM TERLARANG
Astro Shaw sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperluaskan landskap filem tempatan dengan mempersembahkan Malam Terlarang, sebuah karya seram thriller yang diinspirasikan daripada kisah benar misteri masyarakat Nusantara.
KEKUATAN FILEM INI
Kekuatan utama Malam Terlarang terletak pada jalan ceritanya yang ‘hidup’ dan relevan. Ia menawarkan pengalaman sinematik yang menggabungkan elemen seram, konflik emosi dan budaya masyarakat seperti ritual puja pantai yang jarang diangkat ke layar perak.

MITOS LAGENDA
Ini sekaligus membangkitkan semula mitos legenda dewi laut Nusantara bernama Pamakbul. Dikatakan sejenis entiti laut dalam mitologi masyarakat pesisir Jawa dan Selat Melaka.
Terkenal dengan kata-kata puaka yang diwariskan turun-temurun: “Hajatmu akanku makbolkan.” Ia digambarkan sebagai roh wanita laut yang boleh memenuhi permintaan manusia dengan bayaran berupa darah, janin, atau jiwa manusia sendiri.
MESEJ TERSENDIRI
Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘Bila Bertuhankan Nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi. Berlatarkan tahun 1980an, filem ini memberi fokus kepada sebuah keluarga yang menyimpan banyak rahsia merentas generasi.
PARA PELAKON
Filem ini menampilkan karakter protagonis wanita yang kuat menerusi watak Mawar lakonan Shasha Abedul. Karakter Mawar hadir dengan ketegasan dan konflik dalaman yang kompleks, sekali gus menandakan peralihan menarik dalam genre seram tempatan yang menumpukan kepada eksplorasi jiwa dan trauma berbanding kisah ‘hantu’ semata-mata.

ZUL ARIFFIN & SOFIA JANE BERGABUNG
Kemunculan Zul Ariffin melalui watak Omar menuntut transformasi fizikal dan sekali gus membuka sisi baharunya, serta penampilan sulung Sofia Jane sebagai teraju utama filem seram sepanjang kariernya.

Filem ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, bersama pelakon muda Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
KEUNIKAN TERSENDIRI
“Genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Malam Terlarang membawa keunikan tersendiri dengan menginspirasi kisah-kisah misteri masyarakat Nusantara seperti ritual pemujaan pantai yang jarang ditampilkan.

Elemen lokal inilah yang memberi keaslian dan kekuatan, seterusnya menjadikan Malam Terlarang sebuah naskhah segar untuk penonton tempatan serta berpotensi menarik perhatian khalayak antarabangsa.”
-Menurut Penerbit Ekskutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.
LOKASI PENGGAMBARAN
Lokasi penggambaran dijalankan di sekitar Pantai Morib dan Kuala Selangor, menampilkan landskap semula jadi dengan keindahan paya bakau dan pesisiran pantai. Manakala, rumah utama dalam filem ini dibaik pulih sepenuhnya bagi menyesuaikan suasana dan naratif cerita.

Idea asal filem ini dicetuskan alah seorang tenaga kreatif dari Astro Shaw, Hazo Mahayuddin bersama Nazifdin Nasrudin, Haris M. Nor dan Ariff Zulkarnain. Manakala produksi digerakkan oleh Infinitus Gold.
SINOPSIS MALAM TERLARANG
Mawar, seorang gadis berusia 18 tahun membesar di sebuah bandar kecil bernama Kampung Pasir Larung. Cita-citanya sebagai wartawan tertangguh kerana terpaksa menjaga ibunya, Sarimah, apatah lagi bapanya, Omar sibuk dengan kerjaya politik.


Namun, pemergian mengejut kakaknya, Safar mengubah keadaan. Mawar diganggu pengalaman mistik dan kejadian paranormal yang mengerikan, membuatkan dia nekad mencari punca misteri kematian Safar.