Legasi: Bomba The Movie – Angkat Keberanian & Pengorbanan Wira Penyelamat Negara
LEGASI: BOMBA THE MOVIE
LEGASI: BOMBA THE MOVIE hadir sebagai sebuah karya sinematik berskala besar yang menampilkan aksi mendebarkan, emosi mendalam, dan penghormatan tulus kepada barisan wira di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menggabungkan elemen drama, pengorbanan, dan ketegangan, filem ini membawakan penonton menyelami realiti perjuangan anggota bomba yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain.
FILEM AKSI DAN ASPIRASI
LEGASI: BOMBA THE MOVIE merupakan sebuah produksi yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. menjadikannya bukan sahaja sebuah filem aksi, tetapi juga simbol aspirasi dan iltizam dalam mengangkat martabat serta pengorbanan wira bomba negara.
PELAKON DAN PENGARAH
Diarahkan oleh James Lee dan Frank See. Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air, antaranya Ben Amir, Nas-T, Henley Hii serta disokong oleh pelakon sampingan seperti Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood, Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.
JBPM TURUT SERTA
Aksi yang dipaparkan disalurkan dengan latihan intensif oleh JBPM sendiri, memastikan setiap gerakan dan prosedur kelihatan autentik di layar perak, sekaligus memberikan penghormatan kepada kepakaran sebenar anggota bomba.
MALAM GALA LEGASI: BOMBA THE MOVIE
Malam gala rasmi telah berlangsung gemilang pada 18 Ogos di IOI City Mall, Putrajaya, dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berbahagia Tan Sri Khalid bin Abu Bakar, Pengerusi Kumpulan Multimedia.
DI HADIRI JUGA
Yang Amat Setia Dato’ Sri Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Yang Berhormat Azmizan Zaman Huri, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Yang Berbahagia Datuk Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Ms. Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Ms. Agnes Rosario, Pengarah Kandungan Astro, Mr. K.C. Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Six Fun, Pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta barisan para pelakon, penaja, dan rakan media.
SINOPSIS LEGASI: BOMBA THE MOVIE
AMIR, seorang anggota Unit Storm, bersama EDDY, ditugaskan dalam misi menyelamatkan sekumpulan remaja yang hilang di Gunung Kinabalu. Dengan cuaca yang tidak menentu dan keadaan yang penuh risiko, mereka bergantung sepenuhnya kepada skuad helikopter AW189 dalam operasi yang mendebarkan.
Ketangkasan dan keberanian AMIR membantunya mengatasi segala cabaran, dan akhirnya, mereka berjaya menyelamatkan kesemua mangsa.
Namun, di saat mereka meraikan kejayaan dan kenaikan pangkat EDDY, satu tragedi yang tidak disangka-sangka berlaku—letupan gas yang dahsyat mengubah kehidupan AMIR.
Dalam sekelip mata, EDDY, sahabat yang dianggapnya sebagai abang, terkorban di depan matanya. Rasa bersalah menghantui AMIR walaupun dia telah menyelamatkan ramai penduduk, kehilangan EDDY membuatkannya merasakan dirinya gagal.
Kini dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila sebuah menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar. Misi menyelamat ini menguji kekuatan fizikal, mental, dan semangat setia kawan mereka, dalam sebuah penceritaan yang menggabungkan realisme operasi penyelamatan dengan sentuhan dramatik yang menyentuh hati.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 21 Ogos 2025. LEGASI: BOMBA THE MOVIE bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghargaan kepada keberanian, pengorbanan, dan semangat kental anggota bomba Malaysia.