Konsert Ulang Tahun Boney M ke 50 Tahun, Evolusi Muzik Disco & Retro. Apa yang best pada hari konsert berlangsung?
KONSERT ULANG TAHUN BONEY M
Baru seminggu yang lalu berakhir konsertnya tetapi hingga hari ini masih lagi dibuai dengan alunan melodi dari kumpulan Boney M. Mana taknya lebih 3,000 penonton di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza mengakui akan kehebatan mereka.
Tahniah buat Lo-Fi Entertainment dengan kerjasama Front Row Entertainment akan kejayaan konsert ulang tahun Boney M yang ke 50 ini.
SIAPA YANG HADIR?
Rata- rata yang hadir lahir tahun 70an, 80an dan 90an mula memenuhi ruangan duduk seawal jam 6.00 petang lagi. Kebetulan pula, tahun ini merupakan ulang tahun ke 50 buat artis berkumpulan ini. Mana taknya masing-masing tidak sabar untuk menghayati nyanyian lagu dari lagenda muzik yang bakal dipersembahkan.
AIR ASIA DANCERS PEMBUKA TIRAI
Wei, tak sangka rupanya kakitangan dari Air Asia ada yang mempunyai bakat tarian. Diberi peluang untuk sepentas bersama artis lagenda sebagai pembuka tirai tidak dilepaskan. Tarian bertenaga dengan iringan lagu ‘One Way Ticket’ menjadi riuh sebentar walaupun memakai uniform rasmi mereka.
SIAPA MAIZIE WILLIAMS?
Tampil dengan gaun merah tampak anggun dan elegan. Walaupun berusia 75 tahun, tapi jangan pernah menyangkal akan kelunakan suaranya seperti waktu muda dulu. Suara Maizie masih lagi seakan masa 70an dimana masih lagi bertenaga apabila diselang seli dengan tarian sewaktu menyanyi.
Hanya Maizie saja ahli asal yang masih aktif yang memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi Boney M. Sokongan ahli baru berjaya mengekalkan semangat asal kumpulan dan paling utama muzik berkualiti dan mampu bertahan hingga hari ini
AHLI KUMPULAN LAIN ADA?
Pastinya ada untuk mempersembahkan lagu-lagu hits mereka kepada semua yang hadir. Kelly Rahman, Samantha Scott dan tidak lupa Doreen Patel sama-sama menghiburkan bersama Maizie Williams.
MUZIK ALA DISCO
Tidak hanya muzik ala disco tetapi Boney M sempat mendendangkan lagu reggae pada malam itu. 3 genre iaitu funk, disco dan reggae diatas satu pentas.
LAGU HITS?
Antara rangkaian lagu yang dinyanyikan seperti “Sunny”, “Daddy Cool”, “Hooray Hooray”, “Ma Baker”, “Bahama Mama”, dan “No Woman, No Cry”. Siapa saja yang tidak turut bila mendengar lagu yang mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka. Terutama sekali mereka yang membesar dengan lagu ini.
KELABU BLING-BLING HANGATKAN SUASANA
Ulang tahun ke 50 bukan setakat pada kumpulan tetapi juga pada persembahan Boney M sendiri. Dimana Maizie Williams, Kelly rahman, Samantha Scott dan Doreen Patel mengenakan pakaian berwarna kelabu siap berkilau-kilau [bling-bling] gitu.
Muzik ‘Brown Girl in the Ring’ dimainkan, masing-masing tidak dapat menahan diri untuk ke hadapan menari dan menyanyi bersama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Disambung pula dengan lagu ‘Rasputin’ dan Rivers of Babylon’ .
PENUTUP KONSERT
Penutup malam konsert diakhiri dengan lagu Gotta Go Home’ dimana nyanyian padu mereka berempat sekali lagi mengajak para penonton untuk turut serta. Masing-masing mahukan lagi tapi akur dengan masa yang mencemburui.
Kalau ditanya puas kah dengan persembahan mereka – YA, Puas Hati
Kalau ditanya mahukah mereka datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan – YA, kalau boleh di pentas berprestij
KONSERT JELAJAH BONEY M DI ASIA TENGGARA
Untuk makluman, konsert jelajah “Boney M 50th Anniversary Tour” ini juga telah berlangsung di Kuching, Sarawak (4 Januari), Jakarta, Indonesia (10 Januari), dan akan diteruskan ke Singapura pada 15 Januari.