Kenangan Terbaik Buat Peminat Tomok dan Siti Nordiana, menerusi Konsert Memori Mungkin Berulang.
KONSERT MEMORI MUNGKIN BERULANG
Pada 1 Februari 2025, Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kolaborasi istimewa antara dua bintang ternama industri muzik Malaysia, Tomok dan Siti Nordiana, menerusi Konsert Memori Mungkin Berulang.
Konsert ini bukan sahaja mengimbau perjalanan seni mereka sejak zaman persekolahan, tetapi juga menghidupkan semula nostalgia yang mendalam bagi lebih 1,500 peminat yang hadir.
LAGU DETIK-DETIK ALL STARS GEGAR VAGANZA
Lagu “Kill This Love” oleh Blackpink, disertai dengan persembahan penari latar yang memukau. Tomok berkongsi bahawa lagu ini mengingatkannya kepada detik-detik bersama Siti Nordiana dalam program All Stars Gegar Vaganza dua tahun lalu, menambahkan sentuhan peribadi yang mendalam kepada persembahan tersebut.
EH ADA BOLLYWOOD
Suasana kemudian bertukar menjadi lebih romantis dengan alunan lagu Bollywood seperti “Kuch Kuch Hota Hai” dan “Koi Mil Gaya”. Siti Nordiana, dengan vokalnya yang merdu, berjaya menyampaikan emosi cinta dan kerinduan yang terkandung dalam lagu-lagu tersebut. Membawa penonton seolah-olah berada dalam dunia filem Bollywood sama juga dengan Tomok.
LAGU ACHIK SPIN
Lagu-lagu popular mereka seperti “Cinta Hanya Sandaran”, “Berlari”, dan “Hatiku Milikmu” turut dipersembahkan, setiap satunya menyentuh hati penonton dengan cara tersendiri.
Siti Nordiana juga mengambil kesempatan untuk mengenang momen manis bersama Allahyarham Achik Spin dengan menyanyikan lagu duet mereka, mencetuskan suasana penuh emosi di kalangan hadirin.
LAGU WAJIB MEMORI MUNGKIN BERULANG
Kemuncak konsert adalah persembahan lagu duet ikonik mereka, “Memori Mungkin Berulang”. Dengan harmoni vokal yang sempurna dan lirik yang mendalam, mereka berjaya mencetuskan gelombang emosi yang melanda seluruh dewan, membuatkan ramai penonton terharu dan menitiskan air mata.
PALING COMEL
Malam itu diakhiri dengan lagu “Paling Comel”, di mana Tomok dan Siti Nordiana menghadiahkan patung beruang kepada penonton bertuah, memberikan kenangan manis yang akan diingati oleh semua yang hadir.
Konsert Memori Mungkin Berulang bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah perjalanan emosi yang menghubungkan artis dan peminat melalui kenangan dan nostalgia yang abadi.