KISAH SRIKANDI BERNAMA FUZIAH SALLEH

26 Tahun Tanpa Menoleh: Kisah Srikandi Bernama Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 11 Disember 2025: Arena politik bukan calang-calang permainannya. Mereka yang tidak kuat, pastinya akan lemas dibadai gelombang dan akhirnya karam.

Bagaimanapun dalam arus politik Malaysia yang sering bergolak, wujud seorang tokoh wanita hebat yang kekal tenang menangani pelbagai cabaran ketika badai melanda.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Datuk Dr. Fuziah Salleh, 66, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr. Fuziah yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak September 2024, baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, pada 10 Disember lalu.

Beliau kali pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 10 Disember 2022.

Kepercayaan untuk kali kedua ini diberikan memandangkan Dr. Fuziah dilihat sebagai ikon definisi sebenar ketabahan dan kesetiaan.

Dr. Fuziah bukan sekadar seorang ahli politik tetapi beliau adalah teknokrat rakyat yang bekerja dengan akal yang tajam dan hati yang luhur.

Lantikan ini bukan sekadar prosedur, tetapi satu pengiktirafan mutlak terhadap keperluan negara kepada sentuhan kepimpinan beliau di KPDN.

Mengimbas latar belakang dan sejarah politiknya, Dr. Fuziah adalah sebuah hikayat kesetiaan yang jarang ditemui terhadap mana-mana individu sesebuah parti.

Selama 26 tahun, sejak hari pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan, beliau berdiri teguh tanpa pernah berganjak. Di dadanya tertanam kemas perjuangan untuk PKR.

​Ujian terbesar beliau hadir sewaktu “Langkah Sheraton” yang kekal terpahat diingatan masyarakat. Ketika sayap Wanita Keadilan hampir lumpuh sepenuhnya dan ditinggalkan dalam keadaan berantakan, khidmat beliau sekali lagi ditagih.

Walaupun beliau pernah memimpin sayap tersebut di awal penubuhan dan menyerahkannya sebelum ini, beliau tidak menolak tanggungjawab membangunkannya semula.

​Selama dua tahun, Dr Fuziah bekerja secara senyap membina semula serpihan yang tinggal, menyuntik semangat baharu, dan mengukuhkan kembali benteng Wanita Keadilan sehingga ia bangkit semula sebagai sayap yang digeruni.

Beliau membuktikan bahawa pemimpin sejati adalah mereka yang hadir sewaktu parti paling memerlukan, bukan sewaktu parti sedang senang dan dipuncak kuasa.

Tidak keterlaluan, Dr Fuziah turut berjaya dengan tanggungjawab sebagai nakhoda wanita pertama: mengemudi pentadbiran parti pada September 2024.

Sejarah tercipta apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung (SUA) PKR Wanita yang pertama. Ini adalah satu mandat berat untuk menguruskan “parti dalam parti” dan menenangkan gelombang di peringkat akar umbi.

Berbekalkan pengalaman dan gaya kepimpinan yang tenang, Dr Fuziah kini giat menyusun semula struktur parti, memastikan setiap cabang bermesyuarat mengikut perlembagaan, dan membawa parti ke arah era digitalisasi.

Beliau adalah pendamai yang mendengar keluhan akar umbi, memadamkan api persengketaan, dan memastikan jentera parti bergerak sebagai satu pasukan yang utuh dan disegani.

Dr Fuziah dikenali dengan legasi perjuangan dan keberanian. Warga Kuantan mengenali beliau sebagai “Pejuang Anti-Lynas” yang tidak kenal erti takut.

Selama tiga penggal di Dewan Rakyat, suara beliau lantang mendesak piawaian keselamatan ketat demi nyawa penduduk, satu perjuangan yang konsisten selama lebih satu dekad.

​Malah, ketika berada di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau memecahkan tradisi lama dengan melantik Hakim Syarie Wanita pertama di Malaysia—satu legasi yang mengangkat martabat wanita dalam institusi kehakiman Islam.

Tidak keterlaluan dikatakan, Dr Fuziah adalah pemimpin yang bekerja, bukan berbicara ibarat tong kosong.

Dr. Fuziah adalah epitome seorang pemimpin yang “tidak pernah merajuk dan tidak pernah buat hal”. Di Parlimen, beliau menjawab asakan dengan fakta dan ketenangan.

Di lapangan, beliau menyinsing lengan menyantuni rakyat. ​Beliau adalah srikandi yang ‘delivered’ . Daripada seorang kaunselor psikologi kepada arkitek dasar negara, perjalanan beliau membuktikan bahawa dengan kecekalan, integriti, dan idea yang bernas, seorang wanita mampu menjadi tunjang kekuatan kepada parti dan negara.

Sesuatu yang tidak wajar diketepikan ialah Dr Fuziah seorang pelopor idea bernas dan inovasi demi rakyat.

Orangnya tenang dan lemah lembut. Namun disebalik perwatakan ini, Dr. Fuziah memiliki minda strategik yang tajam dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Sebagai Timbalan Menteri KPDN, beliau tidak sekadar “mengikut arahan”, sebaliknya menjadi penjana idea (brainchild) kepada solusi-solusi praktikal demi rakyat.

​Apabila isu kos sara hidup menekan rakyat, beliau tidak menunggu di pejabat. Sebaliknya, Dr. Fuziah membantu Menteri, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam menangani isu kos sara hidup dan kawalan harga barang apabila mengilhamkan Jualan Rahmah Bergerak.

Menyedari bahawa rakyat di pedalaman sukar untuk ke pasar raya, beliau membawa pasar raya bergerak kepada mereka. Idea menggunakan lori untuk masuk jauh ke ceruk kampung dan PPR adalah cetusan idea asli beliau bagi memastikan tiada rakyat yang tertinggal daripada menikmati harga barangan asas yang murah.

​Kebijaksanaan beliau turut terserlah menerusi inisiatif Aduan Suri. Memahami psikologi pengguna, beliau memperkasakan golongan suri rumah sebagai “mata dan telinga” kerajaan, satu langkah bijak yang mendemokrasikan penguatkuasaan undang-undang kawalan harga.

Agenda utama penggal kedua beliau sebaik dilantik semula
sebagai Ahli Dewan Negara sekali gus Timbalan Menteri KPDN, bahawa fokus meneruskan pemantauan harga barang dan pelaksanaan subsidi bersasar (terutamanya RON95 dan diesel) yang menjadi agenda besar kerajaan pada 2026.

Kebijaksanaan dan daya kepimpinannya yang terserlah sudah terbukti. Ternyata beliau mampu menjadi nakhoda utama kepada kementerian.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge