Keretapi Sarong 2025: Lebih Besar, Lebih Meriah, Lebih Serumpun
KERETAPI SARONG 2025
Antara ACARA yang dinantikan oleh rakyat Malaysia iaitu Keretapi Sarong!. Setiap tahun, sambutan Hari Malaysia diraikan dengan pelbagai cara yang meriah, namun salah satu tradisi paling unik dan penuh warna ialah Keretapi Sarong.

Tahun ini, Keretapi Sarong 2025 kembali pada 13 September 2025 dengan tema “Serumpun”, menandakan tahun kesembilan ia dianjurkan.
GABUNG SEMUA
Acara yang menggabungkan fesyen, muzik, seni dan komuniti ini sekali lagi akan menyaksikan ribuan rakyat Malaysia mengenakan sarong dan menaiki pengangkutan awam bersama-sama, menjadikan ia sebuah “cultural flash mob” yang benar-benar mencerminkan kepelbagaian dan perpaduan.

Pemandangan ribuan peserta memakai sarong, menaiki tren, menari dan meraikan Hari Malaysia bersama adalah gambaran Malaysia yang harmoni dan inklusif – sebuah aspirasi yang sentiasa menjadi impian setiap rakyat.
11 STESEN UTAMA LEMBAH KLANG
Apa yang bermula sebagai acara santai kini berkembang menjadi fenomena budaya nasional. Tahun ini, peserta akan memulakan perjalanan dari 11 stesen utama di Lembah Klang termasuk Subang Jaya, Kajang, KL Sentral, Putrajaya Sentral, UPM dan Gombak, sebelum berhimpun di destinasi utama di Kuala Lumpur.

LUAR KAWASAN TERLIBAT JUGA
Lebih menarik, sambutan kali ini semakin meluas. Acara ini akan turut berlangsung serentak di George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas, Johor Bahru dan Melaka. Perkembangan ini membuktikan bahawa semangat sarong bukan sahaja milik warga kota, tetapi juga dikongsi oleh komuniti di seluruh negara.

ANTARABANGSA JUGA ADA
Di peringkat antarabangsa pula, Keretapi Sarong 2025 terus mencuri perhatian. Selepas penganjuran di Berlin dan Melbourne, edisi khas juga akan berlangsung di London dan Sydney, menjadikan sarong sebagai simbol budaya Malaysia yang merentas sempadan.
TEMA SERUMPUN – SIMBOL PENYATUAN!
Tahun ini, pilihan tema “Serumpun” yang membawa mesej mendalam – perpaduan yang tidak terbatas oleh sempadan geografi.

‘Serumpun mengingatkan kita bahawa warisan budaya dan rentak kehidupan yang dikongsi bersama mampu menghubungkan kita bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia. Tetapi juga sebagai sebahagian daripada keluarga ASEAN.”
-kongsi Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman
KENAPA SARONG?
Sarong, kain tradisi yang dikenakan oleh pelbagai kaum di rantau ini, menjadi simbol kesederhanaan, keterangkuman dan warisan yang dikongsi bersama.

Seperti tenunan benang yang berbeza tetapi menghasilkan fabrik indah, begitu juga rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang tetapi bersatu dalam satu identiti.
SOKONGAN KOMUNITI DAN JENAMA
Kejayaan Keretapi Sarong 2025 tidak akan lengkap tanpa kolaborasi pelbagai pihak. Tahun ini, RapidKL sekali lagi tampil sebagai rakan utama, memastikan perjalanan peserta berjalan lancar melalui rangkaian tren dan bas.

Selain itu, pelbagai jenama turut serta membawa warna tersendiri ke acara ini:
- MAGGI memperkenalkan varian baharu MAGGI Sup Ayam Berempah, diinspirasikan daripada citarasa tempatan. Peserta KS25 berpeluang menjadi antara yang pertama merasainya.
- ZUS Coffee melancarkan kempen “Kopi Sarong, Kopi Kita”, dengan tawaran kopi edisi terhad serta pengalaman interaktif yang menghubungkan rakyat melalui budaya mengopi. Mereka juga memperkenalkan ZUS NGUPI®, kopi siap minum dalam tin dengan sentuhan lokal.
- KWSP (EPF) pula menjadikan KS25 sebagai sebahagian daripada kempen “Merdeka Daripada Scam” (#KWSPAntiScam). Peserta boleh sertai aktiviti interaktif, kuiz dan cabaran untuk meningkatkan kesedaran tentang penipuan kewangan.

Turut serta, Tourism Selangor menjadikan Keretapi Sarong 2025 sebagai platform untuk mempromosikan kepelbagaian budaya negeri sempena kempen Visit Selangor 2025.
Dengan Malaysia menyandang Pengerusi ASEAN 2025, pastinya bukan sahaja menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia, tetapi juga menonjolkan mesej penyatuan serantau.
Pada 13 September 2025, marilah kita sama-sama menyarungkan kain sarong dan menyertai ribuan rakyat Malaysia dalam sebuah perayaan yang mengikat kita dalam semangat Serumpun.
