Syria Care Lancar Kempen Warm Their Winter 2025, Sasarkan 1,600 Kotak Pakaian Terus ke Bumi Syam
KEMPEN WARM THEIR WINTER 2025
Syria Care melancarkan kempen Warm Their Winter 2025 dengan mengumpul pakaian musim sejuk untuk dihantar ke Syria buat kali ke-13 berturut-turut. Program tahunan yang berlangsung setiap bulan Oktober ini menyasarkan pengumpulan 1,600 kotak pakaian untuk mengisi dua kontena 40 High Cube.

KERJASAMA BERSAMA
Kali ini kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam dan MPP Zon 3 membolehkan sukarelawan menjalankan kerja-kerja pelipatan dan pembungkusan pakaian di dewan yang selesa. Pakaian yang dikutip akan disusun mengikut kategori lelaki, perempuan, kanak-kanak, jaket dan seluar untuk memudahkan proses pengagihan di Syria.

PENGHANTARAN TERUS
Kempen tahun ini mencatat sejarah apabila buat kali pertama pakaian akan dihantar terus ke pelabuhan Latakia di Syria tanpa perlu singgah di negara lain. Sebelum ini sejak 2013, pakaian dihantar ke pelabuhan Mersin di Turkiye sebelum dibawa melalui jalan darat ke utara Syria.

MASA 50 HARI UNTUK SAMPAI
Manakala pada 2023 dan 2024 pakaian terpaksa dihantar ke Lubnan kerana kerajaan Turkiye tidak membenarkan pakaian terpakai masuk ke pelabuhan mereka susulan gempa bumi. Penghantaran kali ini dijangka mengambil masa 50 hari pelayaran untuk sampai ke Latakia, dan selepas itu pakaian akan dibawa ke gudang untuk diagihkan ke kawasan-kawasan yang memerlukan dalam tempoh 50 hari.
-kata Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Puan Siti Sakinah bt Meor Omar Baki
CABARAN TERBESAR
Setiap yang ingin dilakukan memang ada cabaran. Kali ini cabaran keperluan dana sebanyak RM150,000 untuk menghantar kedua-dua kontena termasuk kos pelabuhan di Malaysia dan Syria serta kos kotak khas yang dicetak mengikut ukuran sesuai untuk dimuat ke dalam kontena.
Kepentingan bantuan ini kerana musim sejuk di Syria yang mengalami empat musim boleh membawa maut jika tidak ditangani dengan baik, terutama kepada kanak-kanak dan pelarian yang pakaian lama mereka sudah tidak muat lagi.
Beliau mengingatkan kejadian pendaki yang meninggal dunia akibat hipotermia di Gunung Nuang baru-baru ini sebagai contoh betapa berbahayanya kesejukan, apatah lagi di Syria yang mengalami musim sejuk yang lebih ekstrem.
PROSES PENGUMPULAN PAKAIAN
Program pengumpulan pakaian berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober 2025 dan akan dihantar ke Pelabuhan Klang pada 27 Oktober sebelum bertolak ke Syria. Beberapa NGO lain turut bekerjasama termasuk Ihsan Ku Malaysia, Alkhair di Pulau Pinang, Ikram di Kuantan. MRA di Kedah serta Perak dan Johor yang mengumpul pakaian di negeri masing-masing sebelum dihantar ke pusat pengumpulan.

WINTER AID
Di samping pakaian, Syria Care juga merancang program Winter Aid yang melibatkan pengagihan bahan bakar seperti kayu api, diesel dan olive briquette, serta projek Roof for Syria untuk membaiki rumah-rumah yang rosak akibat peperangan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Syria Care, dengan sebarang lebihan dana akan digunakan untuk program bantuan musim sejuk yang lain bagi meringankan beban penduduk di Bumi Syam
