Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan usaha melalui pendekatan seluruh negara (whole-of nation approach) dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). Seiring dengan pelaksanaannya, KBBM digerakkan bagi mencapai beberapa objektif utama. Melalui jualan mega platform e-dagang.

ANTARANYA:
● Merangsang ekonomi domestik – Meningkatkan pembelian barangan tempatan sekali gus menjana pendapatan dan menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan;
● Menonjolkan kualiti produk tempatan – Menonjolkan kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa; dan
● Memupuk semangat patriotisme – Menggalakkan sokongan pengguna terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia serta memupuk rasa bangga terhadap produk tempatan
PLATFORM E-DAGANG
KPDN telah merintis kerjasama dengan pengendali platform e-dagang untuk menggerakkan kempen ini. Kerjasama ini dapat membantu meningkatkan promosi, memperluaskan pasaran dan menggalakkan
pembelian produk-produk barangan Malaysia secara dalam talian.

#JOMBELILOKAL
Dengan tema #JomBeliLokal, salah satu usaha yang dilaksanakan adalah dengan melaksanakan kempen jualan mega secara dalam talian (online marketplace). Sepanjang tahun 2024, pelaksanaan KBBM melalui kerjasama rakan-rakan strategik pengendali platform e-dagang telah menjana hasil jualan barangan/produk tempatan berjumlah RM1.99 bilion melibatkan 1,640,679 stock keeping unit (SKU).
Melihat kepada trend kepenggunaan bagi pembelian melalui platform e-dagang, KPDN akan memperluaskan pelaksanaan kempen KBBM secara dalam talian. Antara rakan strategik yang telah tampil adalah TikTok Shop Malaysia yang telah mewujudkan halaman promosi khas (microsite) khusus
untuk pengiklanan dan promosi produk-produk barangan Malaysia.
TIKTOK SHOP 11.11 MEGA SALE CARNIVAL 2025
Hadir untuk merasmikan Tiktok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur dimana ianya karnival berbentuk shoppertainment ini berlangsung selama 3 hari bermula pada 7 hingga 9 November 2025. Acara yang julung kalinya diadakan secara fizikal ini mempunyai reruai, gerai dan pameran, terdiri daripada usahawan/peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pempengaruh (influencer) tempatan.

PENGISIAN MENARIK
Antara pengisian menarik sepanjang karnival ini adalah seperti persembahan hiburan, sesi meet & greet bersama selebriti dan influencer dan online LIVE show daripada peniaga TikTok Shop. Sepanjang tempoh Jualan Mega 11.11 TikTok Shop ini, para pengguna turut menikmati pelbagai faedah.

Nikmati perkhidmatan penghantaran percuma tanpa had, baucar berganda sehingga 30 peratus, beli satu percuma satu, serta tawaran barangan keperluan pada harga mampu milik, bermula dari 1 hingga 11 November 2025.
MELALUI AGENSI MYIPO
Selain itu, KPDN melalui agensinya MyIPO turut bekerjasama dengan TikTok dalam memperkukuh kesedaran serta perlindungan harta intelek di Malaysia, khususnya dalam kalangan usahawan digital.
Melalui kerjasama ini, MyIPO dan TikTok akan memperluas usaha advokasi dan pendidikan berkaitan harta intelek, di samping memperkukuh aspek penguatkuasaan bagi melindungi hak harta intelek dalam persekitaran digital yang semakin berkembang pesat.

