JANNA NICK BER-‘GATAL RAYA’ PULA, BEST KE? | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pernah dengar lagu Gatal nyanyian dari Janna Nick? Kali ini bukan nak kongsi lagu baru tapi lagu yang sama cuma special untuk Raya.
Bukannya 1, bukannya 2, tetapi 3! Begitulah rancaknya penangan single ‘Gatal’ nyanyian bintang popular tanah air, Janna Nick yang tular di media sosial sehingga mendapat perhatian penduduk global.
Single tersebut kemudiannya diadun semula oleh seorang DJ antarabangsa terkenal dari Denmark dengan ‘Gatal (SMYLES Remix)’.
Yang terbaharu, ‘Gatal Raya’ pula diilhamkan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, terbitan label terkenal negara, Warner Music Malaysia.
GATAL (SMYLES REMIX)
25 Mac lalu, single Gatal (SMYLES Remix) telah pun dilancarkan.
“Pihak Warner ada menyatakan idea bernas mereka untuk menghasilkan Gatal versi remix kerana sambutan yang sungguh luar biasa daripada pendengar muzik global. Kebetulan SMYLES juga adalah artis di bawah naungan label yang sama.
Single rancak berentak pop moden yang sensual dalam tempo perlahan ini diberikan ‘nyawa’ baharu oleh SMYLES yang sememangnya pakar dalam penciptaan muzik berentak EDM.
Pemuzik kelahiran Denmark dengan identiti yang agak ‘elusif’ ini nyata memberikan rasa ‘antarabangsa’ yang lebih bertenaga dan dinamik menerusi lagu ‘Gatal (SMYLES Remix)’.
GATAL RAYA
“Nampaknya demam lagu Gatal belum lagi reda-reda. Sambutan luar biasa yang berterusan oleh peminat dengan jumlah tontonan sebanyak 6.6 juta di laman YouTube. Pihak Warner mencadangkan agar single Gatal ‘dirayakan’ pula.
“Komposer asal, Aepul Roza dipertanggungjawabkan semula menulis lirik dan menggubah muziknya sesuai dengan feel Raya,”
– jelas pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 26.
DIRAKAM DALAM MASA 2 JAM?
Lagu Gatal Raya berjaya dirakamkan dalam masa 2 jam sahaja di Studio Dramabois. Manakala proses adunan serta suntingannya pula telah mengambil masa selama seminggu untuk dilaksanakan.
“Walaupun jadual seni saya agak padat, kami berjaya merakamkannya dalam masa yang singkat. Ini kerana saya sudah pun bekerja dengan Aepul sebelum ini. Saya faham apa yang dikehendakinya ketika berada di dalam studio.
“Namun begitu, saya tidak berpeluang menghasilkan MV (video muzik) kerana kekangan masa, jadi kami akan melancarkan audio rasmi sahaja di laman YouTube,” tambah Janna.
SIGNATURE BUNYI GATAL MASIH KEKAL?
“Walaupun lagu ini bertemakan Hari Raya, namun signature bunyi Gatal itu jelas kedengaran.
“Maksud lagu ini agak straightforward dengan mengisahkan tentang sambutan Hari Raya. Bagaimana menjelangnya Aidilfitri nanti.
Ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu sanak-saudara dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain,”
-ujar Janna.
“Semoga lagu Raya ini diterima ramai serta menghiburkan kesemua rakyat Malaysia dan dapat menemani pendengar di sepanjang perjalanan pulang ke kampung nanti.
“Saya juga berharap agar lagu atau branding Gatal terus mendapat sokongan dan diingati sampai bila-bila.
Youtube Warner Music Malaysia |