Kelainan Untuk Kali ini yang dipersembahkan oleh Hafiz Hamidun dalam Album Haramain.
HARAMAIN
Ikon nasyid popular tanah air, komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun sekali lagi tampil dengan album studio terbaharunya berjudul “Haramain” . Diinspirasikan dari perjalanan spiritual ke dua kota terpenting bagi umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.
Hasil kolaboratif kreatif bersama barisan penulis lirik berpengalaman, ITO Lara, Fedtri Yahya dan Hafiz sendiri, dan diterbitkan oleh label rakaman tidak asing lagi, Sony Music Malaysia.
INSPIRASI TANAH SUCI
“Kunjungan ke Tanah Suci banyak memberi inspirasi dalam penghasilan album studio ini. Saya rasakan, ini merupakan detik yang terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu.
Terutama lagu bersesuaian bagi membangkitkan rasa kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah,”
-kongsi Hafiz yang kini merupakan Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaanya yang aktif dengan kerja-kerja amal.
ALBUM TERAKHIR ZIKIR TERAPI
Kali terakhir Hafiz muncul dengan mana-mana album adalah pada tahun 2021 melalui album “Zikir Terapi (Acapella)” yang merupakan kesinambungan dari album studio paling hitnya “Zikir Terapi Diri” pada tahun 2011.
“Sejurus album terakhir dihasilkan, saya berada di persimpangan, samada mahu meneruskan penghasilan album studio atau terus penghasilan single sahaja. Ini kerana album tersebut dirakamkan sewaktu musim PKP dimana saya melalui pelbagai cabaran dan kesukaran. Selepas itu, saya hanya fokus kepada penghasilan single sahaja,”
-kata Hafiz.
LAGU DALAM HARAMAIN
Album Haramain yang mengandungi 10 buah lagu kesemuanya seperti: “Batu Hitam”, “Zamzam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Jabal Qubais”, “Arafah”, “Baqi’”, “Raudah (Slow Version)”, “Srikandi Solehah” dan “Kiswah”.
“Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini membawa mesej kecintaan dan kerinduan terhadap Tanah Suci. Keindahan pengalaman mengerjakan ibadah Haji dan Umrah.
Keagungan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah yang diceritakan dalam setiap lagu membawa pendengar melalui perjalanan spiritual ke tempat-tempat istimewa ini.
TERIMA KASIH SONY MUSIC MALAYSIA
“Album ini lebih fokus kepada pengalaman spiritual dan bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi sebuah perjalanan hati yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT,” kata Hafiz.
“Saya bersyukur kerana pihak Sony Music Malaysia positif dan berhasrat untuk menerbitkan album ini. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, kami akhirnya bersetuju untuk memulakan proses pembikinan album studio ini yang bermula sekitar bulan Jun tahun ini,”
– jelas Hafiz mengenai tempoh yang diambil untuk menghasilkan album Haramain yang memakan masa selama 6 bulan.
ELEMEN MELODI AKUSTIK
Selain Malaysia, Hafiz menerangkan proses rakaman turut dilakukan di luar negara bagi mendapatkan sentuhan asli muzik Timur Tengah seperti Turki yang sering dikunjunginya.
“Seperti biasa, saya akan terbang ke Istanbul untuk merakamkan beberapa elemen muzik di sana khususnya untuk instrumen muzik seperti ‘strings’, klarinet, Baglama (gambus Turki), perkusi (genderang) dan lain-lain,”
Secara keseluruhan, album Haramain adalah berkonsepkan pop nasyid yang pelbagai dengan sentuhan muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi dan Mesir yang disulam dengan elemen melodi akustik moden yang terancang untuk menonjolkan keaslian dan keindahan liriknya.
-kata Hafiz.
“Semoga lagu-lagu dalam album ini membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT lantas mencetus rasa syukur atas nikmat iman. Insya-Allah, saya juga merancang untuk menghasilkan album kesinambungannya yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Kini, saya sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain, yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu dan berkemungkinan Mandarin. Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang.
credit photo : Maestromediamy