Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Filem Bravo 5 Di RTM Sempena Hari Kebangsaan 2017 | Dalam kerancakkan sambutan Hari Kebangsaan yang disambut tanggal 31 Ogos ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan kisah perjuangan lima wira negara menerusi tayangan filem Bravo 5 pada 30 Ogos ini, pukul 10.00 malam menerusi saluran TV1.
Filem arahan M Hitler Zami yang didedikasikan kepada para pejuang negara yang terkorban dalam menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis ini mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat tanah air seperti Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan, Sasha Tharan, Xavier Fong, Frank Peterson dan Chew Kin Wah.
Cuba membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda negara hari ini, paparan kisah benar yang dikongsikan dalam filem ini pastinya menyuntik rasa emosi penonton terutama emosi keluarga pejuang negara yang telah terkorban.
Sinopsis Bravo 5
Bravo 5 adalah sebuah filem aksi perang bercorak patriotik tentang lima anggota Komando Tentera Darat di bawah pimpinan Lt. Azri yang menjalankan operasi mengekang dan menghapuskan pengganas komunis pada tahun 1989. Ketika menjalankan penjejakkan, mereka telah terputus hubungan akibat set radio semboyan yang rosak ditembak oleh musuh. Akibat tiada rangkaian komunikasi, mereka terpaksa mencari alternatif lain mengekang kemaraan musuh dengan kekuatan anggota seramai lima orang sedangkan musuh yang akan dihadapi oleh mereka adalah hampir dua ratus orang.
Mereka menggunakan pendekatan sabotaj dan membunuh secara senyap. Lantaran banyak pertempuran terjadi dan kumpulan mereka adalah kecil jadi mereka terpaksa berusaha dengan pelbagai cara menggunakan kecekapan serta kemahiran masing-masing. Hanya Karim sahaja yang selamat dan yang lainnya mati dalam operasi ini. Karim membawa semua tanda pengenalan rakan-rakan seperjuangan dan diserah kepada waris masing-masing. Kerana keyakinan dan semangat yang tinggi, akhirnya kemaraan gerila komunis ke kawasan tengah Semenanjung Malaysia dapat ditumpaskan dengan kecekapan mereka berlima.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.