APFF63 & CMFCF 2027: DUA FESTIVAL FILEM KEMBALI KE KL BUAT PEMINAT FILEM

Peminat Filem, Save The Date! Dua Festival Besar Kembali Ke KL Mac 2027

PEMINAT FILEM

Peminat filem di Malaysia ada satu lagi acara untuk dimasukkan dalam kalendar tahun depan apabila Festival Filem Asia Pasifik ke-63 (APFF63) dan Festival Kebudayaan Filem China-Malaysia ke-4 (CMFCF) bakal berlangsung serentak di Kuala Lumpur.

APFF63 & CMFCF 2027

Kedua-dua festival ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Mac 2027, menghimpunkan filem, pembikin filem serta aktiviti berkaitan budaya dan industri perfileman dari Malaysia, China dan rantau Asia Pasifik.

DUA FESTIVAL, SATU LOKASI

Dianjurkan oleh Yayasan Antarabangsa Yu On bersama LOMO Pictures dan Asia Pacific International Arts Festival, festival berkembar ini menjadi kali pertama APFF dan CMFCF digabungkan dalam satu platform.

APFF63 & CMFCF 2027

APFF sendiri mempunyai sejarah panjang sejak ditubuhkan pada 1954, manakala CMFCF pula memberi tumpuan kepada hubungan kebudayaan dan perfileman antara China dan Malaysia.

LEBIH DEKAT

Kali ini, kedua-duanya mahu membawa pengalaman festival lebih dekat kepada masyarakat, bukan sekadar menonton filem di pawagam tetapi turut membuka ruang untuk pertukaran budaya dan pertemuan komuniti kreatif.

APFF63 & CMFCF 2027

KAMIL OTHMAN SERTAI BARISAN JURI

Antara nama yang diumumkan ialah Dato’ Kamil Othman, bekas Pengerusi FINAS, yang akan menyertai barisan juri APFF63.

APFF63 & CMFCF 2027

Selain itu, pengarah dan pelakon Malaysia Ayez Shaukat bakal menerima FPA Rising Icon Award (Male) sebagai pengiktirafan terhadap bakat baharu dalam industri perfileman serantau.

KARYA CLIFTON KO TURUT DIRAIKAN

Festival ini turut menampilkan tayangan khas yang memberi penghormatan kepada pengarah Hong Kong, Clifton Ko Chi-Sum, menerusi karya beliau dalam sinema Hong Kong.

APFF63 & CMFCF 2027

PERANG ZOMBI

Satu lagi perkara menarik ialah pengenalan trailer Perang Zombi, yang diperkenalkan oleh penganjur sebagai filem cereka pertama Malaysia yang dijana menggunakan teknologi AI.

Projek ini mengetengahkan bagaimana teknologi baharu mula membuka peluang kepada pendekatan berbeza dalam penghasilan dan penceritaan filem.

JUMPA DI KUALA LUMPUR MAC 2027

Dengan pelbagai program sedang dirancang, APFF63 dan CMFCF bukan sahaja mahu menjadi acara untuk peminat filem, tetapi turut membuka ruang kepada pembikin filem, komuniti kreatif, institusi kebudayaan, golongan belia dan pemain industri untuk berhubung.

Festival Filem Asia Pasifik ke-63 dan Festival Kebudayaan Filem China-Malaysia ke-4 akan berlangsung pada 26 hingga 28 Mac 2027 di Kuala Lumpur.

Jadi, peminat filem Asia — save the date!