From Malaysia to the World Himpunkan Usahawan Tempatan dan Antarabangsa

From Malaysia to the World: Bina Jaringan, Teroka Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2026 – Nak bawa bisnes lebih jauh bukan sekadar tentang mencari pelanggan baharu, tetapi juga membina hubungan dan membuka peluang kerjasama merentas negara.

Itulah antara fokus utama program “From Malaysia to the World” (Dari Malaysia Ke Dunia) yang menghimpunkan usahawan serta pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Program yang membawa tema “Connecting Businesses, Building Partnerships, Expanding Horizons” atau Menghubungkan Perniagaan, Membina Perkongsian, Merentasi Sempadan itu berlangsung dari jam 1 hingga 6 petang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, Ezcape Travel Tech Sdn. Bhd., program ini memberi ruang kepada peserta untuk berkenalan, bertukar pandangan dan memperkenalkan perniagaan masing-masing secara lebih dekat.

Bukan sekadar sesi berkenalan, peserta turut berpeluang memahami keperluan bakal rakan kerjasama serta meneroka hubungan perniagaan yang boleh dikembangkan ke luar pasaran Malaysia.

“Program ini memberi penekanan kepada kepentingan jaringan yang bermakna sebagai langkah awal untuk meneroka peluang perniagaan antarabangsa,” kata penganjur dalam satu kenyataan media.

Menariknya, program ini turut membuka ruang kepada peserta dari luar negara untuk mengenali potensi kerjasama bersama komuniti perniagaan Malaysia.

Dalam masa sama, perkongsian pengalaman dan idea antara peserta daripada pelbagai latar belakang turut menjadi antara pengisian utama program.

Dua Buku Inspirasi Turut Dilancarkan

Selain menghubungkan komuniti perniagaan, From Malaysia to the World turut menyaksikan pelancaran dua buah buku.

Buku pertama ialah “She Chose to Rise: A Journey of Faith, Purpose and Hope” karya usahawati Datuk Dr. Zairita Azlin.

Buku ini membawa pembaca mengikuti perjalanan hidup yang sarat dengan kisah ketahanan diri, cita-cita dan pencarian tujuan hidup.

Buku kedua pula ialah “The Unstoppable Millionaire: 9 Simple Steps to Stay Undefeated” karya Dr. Tahir Hussain.

Buku berkenaan mengetengahkan pendekatan berkaitan ketahanan diri, kejelasan tujuan serta cara melihat kegagalan bukan sebagai pengakhiran, sebaliknya sebahagian daripada proses untuk terus melangkah ke hadapan.

Pelancaran kedua-dua buku itu disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Khairul Adena Almarhum Tengku Abdullah.

Buku Zairita Sudah Sampai Ke 35 Negara

Bagi Zairita, “She Chose to Rise” bukan sekadar sebuah buku, tetapi turut mengangkat pengalaman dan perjalanan hidup yang dilaluinya.

Buku tersebut dilaporkan telah dipasarkan ke 35 negara oleh sebuah penerbit dari United Kingdom dan mencatat jualan sebanyak 2,000 naskhah menerusi platform jualan dalam talian Amazon.

Menurut Zairita, buku itu turut memberi kesan kepada ramai wanita yang membacanya.

Beliau juga berkongsi bahawa karya tersebut mendapat restu dan dorongan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tokoh yang disanjunginya kerana peranan membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Bagi Zairita, semangat itu juga selari dengan nama program “From Malaysia to the World” yang membawa mesej bahawa perniagaan dan bakat dari Malaysia mempunyai ruang untuk pergi lebih jauh.

Catat Pencapaian Di Peringkat Antarabangsa

Tidak berhenti di situ, Zairita turut mencatat satu lagi pencapaian di peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai warga Malaysia pertama yang dinobatkan “She For The Nation – Season 2”.

Pengiktirafan tersebut berlangsung di kediaman Perdana Menteri Sri Lanka, Temple Trees, Colombo.

Dengan program seperti From Malaysia to the World, peluang untuk mempertemukan usahawan, pemain industri dan komuniti perniagaan dari pelbagai negara dilihat menjadi salah satu platform untuk membina hubungan baharu serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas.

Dari Malaysia, untuk pasaran dunia.