18 Acara bakal meriahkan Aneka Walk hingga hujung 2026, ada muzik, makanan dan budaya! Kalau anda mencari tempat baharu untuk lepak, makan, tengok persembahan atau bawa keluarga, ini untuk anda
ANEKA WALK
Jika berada di sekitar Shah Alam, Aneka Walk nampaknya bakal jadi antara lokasi yang menarik untuk masuk dalam radar.
18 ACARA MENARIK
Menjelang penghujung 2026, sebanyak 18 acara dirancang untuk berlangsung di Aneka Walk menerusi program Temasya Aneka yang diperkenalkan oleh KRU Entertainment.
Bukan sekadar acara muzik, Aneka Walk mahu tampil sebagai sebuah destinasi gaya hidup dan hab kebudayaan yang menggabungkan muzik, seni, budaya, makanan, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.

APA YANG MENARIK DI ANEKA WALK?
`Antara tarikan yang paling menarik perhatian ialah Kayangan, sebuah pengalaman yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu.`
Persembahan sulungnya, Hikayat Nusantara, pula membawa penonton mengenali kisah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.

Menariknya, Hikayat Nusantara akan menjadi persembahan mingguan di Aneka Walk dengan tiga sesi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula 4 September 2026.
Jadi kalau anda suka aktiviti hujung minggu yang ada unsur budaya tetapi dalam suasana lebih santai, yang ini mungkin boleh dicuba.
BUKAN DATANG TENGOK SHOW SAHAJA
Selain acara, Aneka Walk turut memperkenalkan beberapa penyewa terawal untuk melengkapkan pengalaman pengunjung.

Antaranya ialah Kek Lapis Wansan, yang membawa produk kek lapis sebagai salah satu warisan makanan tempatan.
KRU Café pula bakal membuka outlet pertamanya di Aneka Walk.
Maknanya, konsepnya bukan sekadar datang tengok persembahan kemudian balik. Boleh makan, minum, jalan-jalan dan menikmati acara dalam satu lokasi.
18 ACARA INI MENARIK?
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim, pengisian acara secara konsisten merupakan antara strategi untuk memastikan pengunjung sentiasa mempunyai sebab baharu untuk datang ke Aneka Walk.
Dan konsep itu memang masuk akal.

Kalau setiap kali datang ada acara atau pengalaman berbeza, tempat seperti ini lebih mudah menjadi lokasi pilihan untuk hujung minggu.
Daripada muzik dan seni hinggalah kepada makanan, budaya dan aktiviti komuniti, Aneka Walk nampaknya mahu membina suasana yang lebih hidup sehingga akhir tahun.
SHAH ALAM ADA PORT BARU ?
Dengan 18 acara yang dirancang sehingga penghujung 2026, menarik juga untuk kita lihat bagaimana Aneka Walk berkembang selepas ini.
Lebih-lebih lagi dengan Hikayat Nusantara yang bakal bermula September. Kalau menjadi seperti yang dirancang, Aneka Walk bukan sekadar tempat singgah tetapi boleh menjadi antara port gaya hidup dan hiburan baharu di Shah Alam.
Jadi, kalau anda berada di sekitar Shah Alam, bolehlah masukkan Aneka Walk dalam senarai tempat untuk explore.
Makan ada. Budaya ada. Hiburan pun ada. Weekend pun boleh jadi lebih meriah! 😉