ALIF HADI | IKATAN TERLARANG

Daripada Dibenci Jadi Hero! Watak Rasyid Dalam Ikatan Terlarang Buat Ramai Penonton Menangis, Alif Hadi Kongsi Kisah Sebenar

IKATAN TERLARANG

Menjelang episod kemuncak Ikatan Terlarang, satu nama terus menjadi perbualan hangat di media sosial iaitu Rasyid. Pada awalnya, ramai penonton menganggap watak itu sebagai punca segala konflik dalam keluarga. Namun siapa sangka, perjalanan emosinya berubah menjadi antara plot twist paling menyentuh hati dalam drama popular Astro Ria itu.

WATAK ALIF HADI

Dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Alif Hadi, watak Rasyid akhirnya berjaya mencuri simpati penonton sehingga ramai meluahkan rasa sedih apabila karakter tersebut menemui pengakhiran yang tragis. Menurut Alif, perubahan penerimaan penonton merupakan hadiah paling bermakna sepanjang menjayakan drama berkenaan.

“Mula-mula ramai benci Rasyid sebab dia sering timbulkan masalah dalam keluarga. Tapi bila cerita berkembang, orang mula faham kenapa dia jadi begitu. Ramai yang cakap sebenarnya Rasyidlah hero yang banyak menyelamatkan keluarga dan membantu Azura mendapatkan semula syarikat,” katanya.

ALIF HADI | IKATAN TERLARANG

Lebih menggembirakan, Alif berkata penonton bukan sahaja mengikuti jalan cerita, malah memberi perhatian kepada setiap babak yang dilakonkan.

“Babak mata kena cucuk, kena tampar… semuanya orang ingat dan bincangkan. Sebagai pelakon, itu satu kepuasan apabila karakter yang kita bawa benar-benar hidup dalam hati penonton.”

WATAK PALING KOMPLEKS

DALAM DRAMA IKATAN TERLARANG

Bagi Alif, Rasyid bukan sekadar watak antagonis. Sebaliknya, dia ialah seorang lelaki yang bergelut dengan tekanan emosi, kegagalan hidup, konflik keluarga dan hakikat dirinya tidak mampu memiliki zuriat.

Menurutnya, semua luka itu akhirnya menjadikan Rasyid seorang yang mudah memberontak sebelum perlahan-lahan berubah menjadi insan lebih baik selepas menerima sokongan daripada Azura.

ALIF HADI | IKATAN TERLARANG

“Dia bukan jahat. Dia cuma kesunyian dan mentalnya tidak stabil. Bila ada orang percaya padanya, dia cuba berubah walaupun ujian terus datang.”

Malah, Alif berharap kisah Rasyid dapat menjadi pengajaran kepada golongan lelaki agar lebih tabah berdepan cabaran hidup.

“Kena kuat, kena sabar dan jangan ikut emosi. Percayalah setiap ujian Allah pasti ada hikmahnya.”

‘PLOT TWIST’ UBAH KARIER ALIF HADI

Walaupun hayat Rasyid dalam drama sudah berakhir, Alif mengakui karakter itu masih meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.

“Sampai sekarang saya masih rasa macam ada lagi Rasyid dalam diri.”

ALIF HADI | IKATAN TERLARANG

Lebih manis, watak tersebut turut membuka lembaran baharu dalam kerjaya lakonannya selepas lebih 15 tahun berada dalam industri.

“Ramai baru nampak bakat saya menerusi drama ini. Bila orang mula menghargai usaha kita, rasa penat selama ini macam terbalas. Alhamdulillah, sekarang tawaran lakonan juga semakin bertambah.”

DRAMA 28 EPISOD IKATAN TERLARANG

Drama 28 episod terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) ini turut dibintangi Erysha Emyra, Hisyam Hamid, Mawar Rashid, Raja Azura dan Arash Mohamad, serta disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria.

ALIF HADI | IKATAN TERLARANG

Dengan episod penutup yang semakin hampir, penonton kini menantikan bagaimana segala konflik akhirnya akan diselesaikan. Jika reaksi di media sosial menjadi ukuran, Rasyid bukan lagi watak yang dibenci, sebaliknya antara karakter paling diingati dan meninggalkan kesan mendalam dalam hati penonton Ikatan Terlarang.

By Nannie Isa

For any collaboration or invitation on Entertainment, Food, Travel or Event /Product Launching & Review, do email to kitepunye2018@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *