Latihan Pestapora Malaysia 2026 kembali pada 15 Ogos di Stadium Hoki Nasional dengan pengalaman festival lebih imersif, 15 artis Malaysia & Indonesia, 50 vendor makanan serta suasana muzik tanpa henti selama 12 jam.
LATIHAN PESTAPORA MALAYSIA 2026
Festival muzik rentas sempadan yang berjaya mencuri perhatian peminat serantau, Latihan Pestapora Malaysia 2026, bakal kembali dengan pengalaman yang lebih besar, lebih imersif dan lebih bertenaga pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional.
PLATFORM PENYATUAN MUZIK DUA NEGARA
Penganjuran kali kedua hasil kerjasama Hitman Solutions dan Boss Creator ini sekali lagi menjadi platform penyatuan muzik Malaysia dan Indonesia menerusi gabungan artis, budaya dan komuniti peminat dalam satu festival berskala mega yang dijangka mencipta fenomena baharu tahun ini.
Selepas kejayaan luar biasa edisi pertama yang menghimpunkan lebih 25,000 pengunjung termasuk 10,000 pelawat antarabangsa, Latihan Pestapora kini dilihat sebagai antara festival muzik serumpun paling berpengaruh di Asia Tenggara. Edisi terdahulu turut menampilkan nama besar seperti Bunkface, Bittersweet, Pamungkas, Kunto Aji, Nadin Amizah dan Sheila On 7 yang berjaya mencetuskan gelombang luar biasa dalam kalangan peminat muzik alternatif dan indie.

KONSEP LEBIH SEGAR & MESRA
Untuk tahun 2026, festival ini hadir dengan konsep yang lebih segar dan mesra pengunjung. Pihak penganjur menjanjikan pengalaman festival yang dipertingkatkan termasuk ruang festival lebih luas, lebih 50 vendor makanan dan gaya hidup, aktiviti interaktif serta suasana festival yang lebih dekat dengan jiwa generasi muda masa kini.
12 JAM TANPA HENTI
Lebih menarik, pengunjung turut akan menerima air mineral percuma selain berpeluang menikmati persembahan muzik selama 12 jam tanpa henti menerusi kurasi lebih 15 artis dari Malaysia dan Indonesia. Barisan artis rasmi dijangka diumumkan secara berperingkat dalam masa terdekat.
Menurut penganjur, Latihan Pestapora bukan sekadar festival hiburan, tetapi sebuah gerakan budaya yang menyatukan peminat muzik serantau melalui pengalaman kolektif yang penuh emosi, nostalgia dan energi positif.
SIMBOL HUBUNGAN ERAT MUZIK
“Latihan Pestapora Malaysia menjadi simbol hubungan erat muzik Malaysia dan Indonesia. Kami mahu menjadikan festival ini sebagai ruang meraikan karya, komuniti dan pengalaman yang lebih dekat dengan peminat,” jelas pihak penganjur.
BLIND SALE DI BUKA
Jualan “Blind Sale” bagi kategori General Admission (Free Standing) telah dibuka dengan harga RM129 tidak termasuk caj tambahan. Tiket dijangka mendapat sambutan hangat memandangkan reputasi festival ini yang semakin berkembang dalam kalangan pencinta muzik serantau.
Dengan gabungan festival muzik, gaya hidup, makanan dan pengalaman komuniti yang lebih immersive, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dijangka menjadi antara festival paling dinanti-nantikan tahun ini.
