Raikan Kasih Adina Alkhair 2025: Menyatukan Komuniti, Menyebarkan Harapan buat Kanak-Kanak Kanser.
RAIKAN KASIH ADINA ALKHAIR 2025
Adina Charity Circle bersinergi bersama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia. Serta sokongan padu rakan-rakan kerjasama dan komuniti setempat, telah berjaya menganjurkan program Raikan Kasih Adina Alkhair 2025.

INISIATIF KEMANUSIAAN
Program ini merupakan sebuah inisiatif kemanusiaan yang bertujuan menyokong pesakit kanser kanak-kanak melalui sumbangan keperluan asas serta sokongan emosi. Berlangsung pada Ahad, 14 Disember 2025, dari 11.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Pentas Utama, Kompleks PKNS Shah Alam ini merupakan kemuncak kepada Projek Pengumpulan ‘Diapers’.
PROJEK PENGUMPULAN DIAPERS
Projek Pengumpulan ‘Diapers’ untuk Kanak-Kanak Kanser (Diapers Donation Drive) yang telah dilaksanakan selama 14 hari. Jumlah keseluruhan kutipan lampin pakai buang yang berjaya dikumpulkan turut diumumkan kepada orang ramai sebagai simbol solidariti dan keprihatinan masyarakat terhadap perjuangan anak-anak kanser.
PENGISIAN PROGRAM
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti kanak-kanak seawal jam 10.30pagi, diikuti majlis penyampaian sumbangan lampin pakai buang dan susu bernutrisi kepada kanak-kanak kanser, serta sesi penghargaan khas kepada rakan-rakan kerjasama yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

ARTIS TERLIBAT
Program turut diserikan dengan pengisian rohani oleh Ustaz Don Daniyal, serta persembahan istimewa oleh Azan Addin, Pot Amir Innuendo dan Radhi Khalid, yang hadir menyumbang masa, bakat dan sokongan moral secara sukarela.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan kerjasama, iaitu Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Biofitrah, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Pertubuhan KAB.
Termasuk Yayasan EZ Prihatin, Pertubuhan Kebajikan Sedulur, Rumah Ngaji Mekah, HUMAM Relief, Merryah Kitchen, The Charms Team, Grads, Mydin Mart Seksyen 13 serta Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Kanak-kanak Kanser (Kids). Tidak lupa, para sukarelawan dan penyumbang individu yang telah menyumbang tenaga, kepakaran dan kepercayaan. Sokongan kolektif inilah yang menjadi tulang belakang kejayaan program ini.

KOMITMEN ADINA CHARITY CIRCLE
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Adina Charity Circle dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara NGO, sektor perniagaan dan komuniti setempat demi kebajikan kanak-kanak yang berdepan cabaran kesihatan yang serius.
Kehadiran orang ramai bersama keluarga telah memeriahkan program ini dan menyemarakkan lagi mesej harapan serta kasih sayang. Setiap sumbangan, kehadiran dan doa yang diberikan membawa makna besar dalam usaha mengembalikan keceriaan dan kebahagiaan kepada kanak-kanak kanser.
