Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Single Terbaru Ara Johari “Bunga” Dimainkan Di Corong Radio |Penyanyi muda wanita yang sedang meningkat naik juga tercalon sebagai Artis Baru Terbaik (Wanita) pada majlis Anugerah Planet Muzik 2017 yang baharu sahaja berlangsung di negara jiran Singapura dan salah seorang peserta AF Megastar, Nurfarrah Izzatie Johari, 19, atau lebih mesra dengan panggilan Ara Johari bakal menggegarkan industri hiburan tanah air sekali lagi setelah kejayaan di luar jangkaan single pertama ‘Warkah Untukku’. Kini, tampil dengan lebih yakin, Ara Johari kembali dengan edisi terbaharu berjudul ‘Bunga’ hasil ciptaan Akim Ahmad atau lebih dikenali sebagai Hang Nadim, dan beliau turut berkolaborasi bersama Laq dan Kadok.
Finalis Akademi Fantasia 2016 (AF 2016) ini mula mendapat perhatian sejurus berakhirnya rancangan pertandingan nyanyian televisyen realiti terbabit kerana vokal bertenaga lagi memukau yang dipamerkannya setiap kali membuat persembahan di atas pentas dari konsert minggu pertama sehingga konsert akhir di mana beliau mendapat tempat keempat. Single ‘Warkah Untukku’ nyanyian Ara Johari pada konsert akhir AF 2016 ternyata menjadi hit serta merta dan sering dimainkan di corong-corong radio muzik tempatan serta menjadi siulan anak-anak muda di luar sana dengan tontonan melebihi 10 juta di laman sesawang YouTube.
Jika dalam single terdahulu, Ara memilih genre balada rock yang sememangnya sesuai dengan vokal beliau, kini dengan single ‘Bunga’, beliau sekali lagi mempertaruhkan genre yang sama, diadun pula dengan kemantapan serta kehebatan dinamik vokal beliau yang telahpun diakui mempunyai kekuatan tersendiri walaupun baharu sahaja menapak dalam bidang muzik tempatan sebagai seorang penyanyi.
Pada single terdahulu, ia menceritakan tentang pengharapan seseorang terhadap kekasihnya agar berubah menjadi lebih baik tetapi dalam single terbaharu ini ia ditujukan buat kaum wanita yang diibaratkan sebagai ‘Bunga’ yang sedang mekar berkembang cantik tetapi hatinya telah dirobek dan diperbodohkan oleh sesetengah kaum lelaki yang suka mengambil kesempatan dan lebih malang lagi ditinggalkannya begitu sahaja.
Mengulas mengenai single ‘Bunga’, Ara Johari berkata,

“Bunga merupakan luahan rasa saya dalam lagu dan mesej yang cuba disampaikan merupakan peringatan buat setiap wanita agar lebih berwaspada dan tidaklah bertujuan untuk menjatuhkan kaum lelaki. Di samping itu, ia lebih kepada nasihat kepada para wanita untuk lebih berhati-hati apabila mencari pasangan kelak.
Dalam single ‘Bunga’ ini, ia menceritakan tentang cinta segelintir wanita di luar sana pada kaum lelaki yang sering terarah kepada kemewahan harta benda serta rupa paras yang menarik. Namun begitu, ada kalanya lelaki yang dikasihi itu langsung tidak memiliki sifat bertanggungjawab terhadap orang lain, membuatkan mereka ini lalai dan mempersiakan pengorbanan seorang wanita. Bagi saya, jangan terlalu taksub dengan penampilan luaran seseorang yang adakalanya mengaburi pandangan mata kasar tetapi nilailah dari hati kerana cinta yang ikhlas datangnya dari hati.

Selain itu, saya juga akui kejayaan single pertama sedikit sebanyak memberikan tekanan terhadap saya kerana sambutan hangat yang diterima, yang mana sebagai seorang pendatang baru, sudah pasti saya tidak menyangkakannya. Single kedua saya ini sangat penting bagi saya kerana tanda aras yang diletakkan di atas kejayaan single ‘Warkah Untukku’ yang terdahulu adalah terlalu tinggi. ‘Bunga’ merupakan titik kesinambungan terhadap kerjaya saya sebagai penyanyi.
Setelah bergelar penyanyi, kehidupan saya kini lebih berbeza di mana ramai mula mengenali siapa Ara Johari. Banyak perkara yang perlu dijaga kerana orang memandang kita atas dan bawah, setiap gerak-geri dan tingkah laku menjadi perhatian, jadi saya perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Sekali kita buat silap, sampai bila-bila orang akan ingat dan walau banyak mana pun kita buat baik, belum tentu ada orang beri perhatian mahupun ingat. Mungkin ini asam garam yang perlu saya lalui sebagai anak seni dan perjalanan saya masih lagi jauh dan banyak yang perlu ditempuh.

Single Terbaru Ara Johari “Bunga”

Namun begitu, saya bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi dan segala perhatian yang telah diberikan memandangkan umur saya dalam bidang ini hanyalah setahun jagung. Besar harapan saya agar single ‘Bunga’ ini diterima ramai sebagaimana single saya yang terdahulu dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat peminat-peminat saya yang tidak henti-henti menyokong saya kerana menerima pendatang baru seperti saya dan percaya pada bakat saya.”
Menurut Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.,

“ Ara Johari  merupakan seorang penyanyi muda wanita yang berbakat besar. Single ‘Warkah Untukku’ ternyata berjaya mendapat tempat di hati pendengar-pendengar muzik tempatan dan saya rasakan single ‘Bunga’ ini juga mampu pergi jauh kerana lirik serta susunan muziknya yang mengikut trend masa kini. Pihak pengurusan berharap agar penggemar muzik tanah air terus menyokong bakat anak muda ini kerana potensi yang dimilikinya. Rangka promosi single ‘Bunga’ akan dilaksanakan mulai bulan ini dan Ara dijadualkan bakal memenuhi sesi temubual di stesen-stesen radio dan televisyen tempatan.”

Single ‘Bunga’ ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia bermula pada hari ini.

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.



1 Comment

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge