MUSIC

Kau Takkan Tahu Single Terbaru Dari Zizan Razak Tentang Kisah Cinta

oleh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kau Takkan Tahu Single Terbaru Dari Zizan Razak Tentang Kisah Cinta|Pelawak, pelakon, pengacara serta penyanyi versatil popular Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan lagi dan pernah memenangi pelbagai anugerah serta mendapat beberapa pengiktirafan sepanjang bergelar anak seni yang berasal dari Dungun, Terengganu, Mohd Razizan Abdul Razak, atau lebih dikenali dengan nama Zizan Razak kembali menghangatkan industri muzik tanahair dengan single terbaharu yang diberi judul Kau Takkan Tahu.

“Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana tahun 2018 merupakan tahun yang dilimpahi dengan rezeki yang tidak putus-putus. Namun begitu, hasrat saya untuk menghasilkan single Kau Takkan Tahu berjaya juga dilaksanakan walaupun pada masa yang sama saya sedang sibuk dengan program Jozan, filem animasi Wheely dan kolaborasi dengan produksi dari seberang.  Masih mengekalkan genre hip hop, Kau Takkan Tahu merupakan single saya yang tebaharu ciptaan sepenuhnya oleh Alif by Magic Potions dan ia merupakan sebuah kisah cinta sedih di mana ia menceritakan tentang perihal seorang teman wanita yang bekerja di tempat yang sama dengan teman lelakinya dan sentiasa mengesyaki teman lelakinya mempunyai hubungan dengan wanita lain sehingga akhirnya mereka putus.

Walaupun lagu ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan hidup saya, namun saya pasti ramai lelaki di luar sana yang pernah mengalami nasib yang sama di mana teman wanita mereka sentiasa mencari kesalahan dan dijadikan alasan untuk meninggalkan kita. Proses rakaman single ini sebenarnya sekejap sahaja tetapi perancangan untuk menghasilkannya telah pun bermula sejak 2 tahun yang lepas kerana pelbagai aspek yang perlu diambil kira daripada segi melodi, lirik, siapa yang akan dipaparkan, kemasan produk akhir dan pelbagai lagi ”

– Zizan Razak berkata

Selain sibuk mempromosikan filem terbaharu dan program TV, beliau juga turut diintai produksi dari Indonesia berkaitan usahasama dalam menjayakan drama bersiri dan juga filem.

“Saya masih lagi berusaha untuk mengembangkan bakat saya di seberang kerana mendapat undangan untuk berlakon dengan produksi di sana dan produknya masih belum dikeluarkan. Saya optimis dengan peminat-peminat di Indonesia kerana sebelum meneroka pasaran di sana, sudah ada peminat-peminat yang menyapa saya melalui media sosial dan rata-rata mereka memberi reaksi positif terhadap karya-karya seni saya. Akhir sekali, saya berharap agar lagu ‘Kau Takkan Tahu’ dapat diterima ramai dan menjadi lagu evergreen serta mendapat permintaan agar sentiasa diputarkan di stesen-stesen radio seluruh Malaysia.”

-Zizan Razak menyambung

“Zizan Razak merupakan artis serba boleh yang mampu melakukan apa sahaja dan kami yakin dengan bakat yang dimiliki beliau juga kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkan. Selain itu, Zizan juga seorang yang begitu teliti dengan setiap perkara yang dilakukan dan beliau sentiasa mahukan yang terbaik buat peminat-peminatnya. Saya yakin single Kau Takkan Tahu akan diterima baik penggemar muzik Malaysia.”

Raqeem BrianKetua Label Muzik, Rocketfuel Records,

Lagu ‘Kau Takkan Tahu’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Kau Takkan Tahu’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.