MOVIE/TEATER

Bintang Bersama Bintang 2018 Bakal Menyinar Kembali Bintang Komedi

oleh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Bintang Bersama Bintang 2018 Bakal Menyinar Kembali Bintang Komedi | Tahun ini Malaysia bakal digemparkan lagi dengan lawak tidak kering gusi daripada pelawak-pelawak terkenal tanah air. Bintang Bersama Bintang 2018 membawakan medan peperangan lawak era baharu dinamakan Arena Bintang Bersama Bintang yang dibarisi oleh nama-nama besar seperti Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk. Berpengalaman luas dalam persembahan sketsa lawak di pelbagai platform rangkaian televisyen Malaysia, pastinya kehadiran pelawak-pelawak ini di kaca TV anda bakal menceriakan malam hujung minggu anda. Setiap peserta juga memiliki keunikan dan gaya tersendiri dalam menyampaikan persembahan masing-masing.

Menurut Puan Zurina Othman, Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad,

“Sebagai stesen penyiaran nombor satu Malaysia, TV3 sentiasa menawarkan pelbagai variasi program hiburan menarik untuk tontonan semua rakyat Malaysia. Barisan Bintang Bersama Bintang 2018 merupakan nama-nama besar yang tidak asing lagi dalam arena lawak tanah air yang akan memberikan jenaka yang mencuit hati. Pastinya dengan Bintang Bersama Bintang 2018, penonton dapat meluangkan masa bersama keluarga sebelum mengakhiri cuti hujung minggu dengan program hiburan realiti lawak terbaharu ini.”

Abam Bocey, Syuk dan Mark Adam

Achey, Issey dan Ajak

Bakal bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap Ahad bermula 14 Januari 2018 pada pukul 10.00 malam, Bintang Bersama Bintang 2018 menampilkan pentas mingguan di mana setiap peserta harus mempersembahkan sketsa dan ‘punchline’ selama empat minit tiga puluh saat serta lagu berdurasi dua minit tiga puluh saat yang telah diolah menjadi kelakar mengikut kesesuaian dan kreativiti masing-masing. Dalam persembahan setiap minggu, para peserta juga dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk mengambil bahagian dalam sketsa mereka.

Tiada penyingkiran yang akan dilakukan pada setiap minggu namun pemenang mingguan akan mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM 10,000. Manakala, pada peringkat akhir iaitu Super Bintang Bersama Bintang, pemenang keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000. Berdasarkan pengalaman luas dalam industri, Saiful Apek telah dipilih sebagai juri tetap dan setiap minggu Bintang Bersama Bintang 2018 akan menampilkan juri jemputan bagi memeriahkan lagi Arena Bintang Bersama Bintang. Program tujuh episod ini turut menampilkan AG sebagai pengacara tetap.

Para penonton Bintang Bersama Bintang 2018 boleh mengikuti perkembangan para peserta Bintang Bersama Bintang 2018 melalui Komik Bintang Bersama Bintang (BBB) pada setiap Ahad jam 6.00 petang di TV3. Komik BBB memaparkan aktiviti harian para peserta disamping persediaan mereka untuk mempersembahkan sketsa mingguan. Para penonton boleh memeriahkan media sosial dengan #BBB2018.

Sistem pemarkahan Bintang Bersama Bintang 2018 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 70% daripada panel juri dan 30% daripada undian atas talian. Untuk mengundi dan ketahui info lebih lanjut mengenai Bintang Bersama Bintang 2018, para penonton boleh ke laman sesawang www.xtra.com.my/BBB2018. Undian atas talian hanya dibuka pada hari bersiaran bermula jam 6.00 petang. Portal xtra (www.xtra.com.my) menampilkan berita hiburan dan kandungan sensasi dari seluruh negara selain siaran LIVE TV secara percuma yang dikuasakan oleh tonton.