MOVIE/TEATER

1, 2 Selfie , Travelog Agro Bersama Farish Aziz Di TV1

oleh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1, 2 Selfie , Travelog Agro Bersama Farish Aziz Di TV1 |Budaya ‘selfie’ sekarang menjadi trend dan gaya terkini dalam kalangan remaja mahu pun sesiapa sahaja. Selfie dianggap sebagai cara mengabadikan momen-momen tertentu untuk dikenang sepanjang hayat. Ramai orang beranggapan selfie dapat membangitkan semangat untuk diri sendiri dan membentuk keyakinan diri. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba menggunakan platform ‘selfie’ membawakan program terbaharu bertajuk “1, 2 Selfie” berkonsepkan travelog cuti-cuti agro yang berkongsi pengalaman hos menjelajah ke seluruh negara melakukan aktiviti swafoto khasnya, belajar memasak dan menikmati makanan tempatan, belajar membuat kraf tangan, juga menambah pengetahuan dan pengalaman semasa bercuti.

Mengisi slot Santai di TV1 bermula 28 Oktober ini, setiap Sabtu, pukul 2.30 petang, program 13 episod ini menampilkan hos Farish Aziz bercuti dan berkongsi tarikan agro di lokasi-lokasi terpilih seluruh negara antaranya ke Pulau Aman (Pulau Pinang), Nenasi, Janda Baik (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Hutan Melintang, Lenggong (Perak), Sekinchan, Batu Arang, Rawang, Ijok, Sepang (Selangor), dan Alor Gajah (Melaka). 1, 2 Selfie , Travelog Agro Bersama Farish Aziz Di TV1

Farish Aziz memulakan travelog ke Pulau Aman, Pulau Pinang dan tarikan agro di Pulau ini ialah makanan tradisional, kraf tangan siput laut dan Pokok Sukun Tertua berusia lebih seratus tahun. Kemudian terus ke Tasek Gelugor meneroka ladang PERDA Ventures. Terdapat ternakan ayam piru dan kambing. Di ladang sayur PERDA Veggie, Ara Kuda terdapat pelbagai sayuran dan buah-buahan. Destinasi terakhir ialah Sangkar Ikan GST di Pulau Aman melihat ikan-ikan laut yang diternak bagi pasaran Malaysia dan luar negara.

Dalam episod berikutnya Farish ke Nenasi, Pahang yang terkenal dengan aktiviti nelayan. Destinasi pertama di Pantai Badung mengikut nelayan menangkap ketam di laut. Farish juga berkesempatan mengunjungi tempat perusahaan keropok di Kampung Nenasi Pantai. Masyarakat Orang Asli di Nenasi rajin berniaga di mana mereka menjual lokan, belangkas dan ketam nipah. Mereka juga merupakan pembuat papan pemotong yang mahir.

Seterusnya kunjungan ke Juasseh Agro Park, Negeri Sembilan dikenali sebagai ‘NS Diary Farm’ melawat ladang lembu susu dan Boden Farm iaitu ladang kambing, lebah dan tanaman. Pengalaman di sini sangat menarik kerana pemandangannya yang hijau dengan padang ragut yang luas dan bersih. Akhir sekali, Farish membawa menyaksikan rakaman di ladang kelapa dan juga dapat mengenali bagaimana landak dibiakkan bagi tujuan komersial.

Perkongsian Farish tambah mengujakan meneroka tempat-tempat agro di Negeri Perak. Destinasi pertama ialah di Pusat Komoditi Kelapa, Hutan Melintang merasai pengalaman membuat kelapa botak daripada kelapa jenis ‘pandan’. Perjalanan diteruskan ke Lekir, tempat peraih udang galah dan ke Ladang Anggur Saloma. Selain daripada anggur, ladang ini juga menanam buah tin, kurma, epal dan sebagainya. Melengkapkan kunjungan melawat ladang pembiakan cendawan di Ayer Tawar dan PATRO, Tanjung Tualang melihat pelbagai tanaman seperti cili, kunyit, misai kucing dan sebagainya.1, 2 Selfie , Travelog Agro Bersama Farish Aziz Di TV1

Farish meneroka Selangor iaitu di Sekinchan dengan berjalan-jalan di sekitar sawah padi yang telah memasuki musim menanam. Farish berpeluang menaiki jentera khas untuk menanam padi, menggunakan mesin. Seterusnya penonton dibawa ke ladang jagung dan ubi untuk melihat hasil tanaman yang telah tiba waktu untuk dituai. Sekincahan juga memberi kesempatan kepada penonton untuk melihat ladang jambu air La Familiar, yang mengeluarkan hasil yang banyak. Salah satu keistimewaan Sekinchan ialah mentarang dan Farish bertuah dapat merasainya.

Tidak kurang menariknya masih di Selangor iaitu di Batu Arang, Rawang dan Ijok. Destinasi pertama ke ladang lembu HM Kasturi di TKPM Batu Arang. Lembu-lembu di sini adalah dari baka luar negara. Kemudian dia ke ladang nangka madu yang ditanam untuk pasaran tempatan dan luar negara. Destinasi seterusnya ialah di kebun Orkid, United Malaysian Orchids, Rawang. Di sini terdapat lebih 300 spesis orkid yang cantik. Menariknya ada orkid yang diberi nama VVIP. Ada juga orkid yang ditanam di dalam bilik aircond. Destinasi terakhir ialah Taman Arnab Bukit Badong, Ijok. Keunikan tempat ini ialah mereka menawarkan ‘night petting zoo’ kepada pengunjung. Ada arnab untuk hiasan dan ada juga arnab pedaging diternak di sini.

Lokasi yang seterusnya dekat dengan penduduk ibu kota iaitu Sungai Merab, Dengkil dan Putrajaya. Kali ini Farish memulakan perjalanan ke NURALIS Agro Farm yang terletak di Sungai Merab yang merupakan tempat ternakan ayam kampung dan lokasi kursus penternakan ayam. Farish juga ke Goodtree Garden yang terletak di Bukit Dugang, Dengkil, tempat penternakan arnab pedaging dan arnab perhiasan yang diusahakan bagi tujuan komersial. Destinasi terakhir ialah di Taman Warisan, Purajaya. Farish berpeluang melawat kawasan ladang dan merasai sendiri pengalaman membuat getah keping.

Ikuti banyak lagi episod menarik yang dikongsikan dalam program travelog ini. Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.