Drama/Telefilem/Program TV MOVIE/TEATER

Telemovie Misteri Ubi Kayu Di TV2 Jejak Pembunuh Sebenar 

oleh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Telemovie Misteri Ubi Kayu Di TV2 Jejak Pembunuh Sebenar |Bukan kisah cinta, bukan juga kisah kekeluargaan. Sebaliknya telemovie bertajuk Misteri Ubi Kayu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 22 Disember ini, pukul 2.00
petang menerusi TV2 mengajak penonton berfikir siapakah dalang di sebalik misteri pembunuhan kejam di lakukan terhadap penduduk kampung didiami mereka.

Menampilkan lakonan mantap gandingan pelakon utama Nadiya Nisaa, dan Pekin Ibrahim, telemovie yang bakal meninggalkan anda dengan seribu satu persoalan ini turut dibintangi oleh Syawal AF, Nazeera Sardi, Syukri Yahya dan Kamarool Hj. Yusof.

Sinopsis telemovie Misteri Ubi Kayu

Ia mengetengahkan watak Salman (lingkungan umur 30an yang juga OKU). Dia tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah ibu dan bapanya yang terletak agak jauh daripada kejiranan di Kampung Batu 13. Kehidupan Salman kosong dan penuh penghinaan yang seringkali dilemparkan oleh masyarakat setempat kepadanya. Dia turut dipingirkan akibat kekurangan dirinya. Situasi itu membuatkan
dirinya rasa kecewa dan berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

Namun Salman dianggap bertuah kerana dalam kalangan ramai yang memulaukannya, terdapat golongan berhati mulia yang mengambil berat tentang kebajikannya. Ia termasuklah Cikgu Anida yang sering bertanya khabar dan menjaga kebajikan dirinya. Kecantikan semulajadi dimiliki Cikgu Anida membuatkan ramai pemuda kampung tergila- gilakannya termasuklah Salman yang dalam diam jatuh cinta kepadanya. Salman jatuh cinta pandang pertama kepada Cikgu Anida.

Namun dia sedar kekurangan dirinya berbanding Cikgu Anida yang menjadi kesayangan ramai. Baginya dia tidak layak untuk gadis sebaik Cikgu Anida. Takdir menentukan jodoh mereka kuat. Akhirnya mereka selamat menjadi pasangan suami isteri.
Begitu pun pada masa sama misteri orang hilang kembali menghantui dan mengganggu kesejahteraan penduduk Kampung Batu 13. Ini menimbulkan kerisauan di hati orang kampung termasuklah Salman.



Dia turut tertanya-tanya siapakah yang menjadi dalang di sebalik misteri kehilangan orang kampung mereka tersebut. Akhirnya misteri terungkai apabila Salman sendiri yang melaporkan kepada polis tentang isterinya itu yang kemudiannya menjawab persoalan misteri kehilangan penduduk kampung mereka. Apakah kaitan Cikgu Anida dengan semua misteri tersebut? Begitu juga kaitannya dengan tanaman ubi kayu di kawasan rumah mereka. Ikuti kesudahan telemovie ini di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.