Che Salmah Bintang Radio Komedi Dalam 13 Episod di TV2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Che Salmah Bintang Radio Komedi Dalam 13 Episod di TV2| Bagaimanakah perasaan anda sekiranya impian hidup yang tidak kesampaian sebelum ini berjaya direalisasikan? Apakah anda akan terus hidup dalam lakonan atau kembali berdepan realiti yang tidak seindah diharapkan?

Menampilkan gandingan pelakon Anas Ridzuan, Chacha Maembong, Dian P.Ramlee, Fathul Wafi dan Fathil Dani, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan drama bersiri Che Salmah Bintang Radio arahan Fairuz Loy, sedang bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, pukul 3.00 petang menerusi saluran TV2.

Sinopsis Che Salmah Bintang Radio
Ceritanya berkisar tentang Che Salmah yang tinggal dengan anak tunggalnya Azhar, menantunya Amyza, dan dua cucunya Anas dan Aisya. Pergolakan keluarga bermula apabila Che Salmah sering memarahi Amyza seolah-olah membencinya. Amyza yang menghidapi sakit hipertensi akhirnya jatuh sakit dan terlantar di hospital. Azhar menegur sikap ibunya dan mencadangkan agar ibunya tinggal di rumah orang-orang tua buat sementara waktu.

Che Salmah mengambil keputusan meninggalkan rumah itu dan di pertengahan jalan dia telah didatangi oleh seorang lelaki tua yang memberikannya sejenis jamu untuk menenangkan hatinya dan boleh menjadi cantik. Setelah meminum jamu tersebut dengan tiba-tiba Che Salmah pengsan dan apabila dia sedar, dia sudah menjadi seorang perempuan yang cantik. Kini Che Salmah menjelma menjadi seorang wanita cantik menghadapi kerenah anak-anak mudayang mengganggunya kerana kecantikannya.

Che Salmah terus berjalan dan terus berangan- angan untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat yang pernah diimpikannya tetapi hajat itu tidak pernah kesampaian. Dalam masa yang sama, Azhar dan anak-anaknya mencari Che Salmah yang telah hilang daripada rumah. Keinginannya menjadi penyanyi terus bergolak, lantas apabila melintasi sebuah pusat karaoke, Che Salmah terpanggil untuk menyanyi di situ.

Kecantikan dan kemerduan suaranya telah memikat ramai orang. Anas dan kawan-kawannya yang sedang mencari neneknya juga turut teruja mendengar suara merdu dan keayuan wajah Che Salmah terus masuk ke pusat karaoke itu.  Anas tawarkan Che Salmah sebagai penyanyi kugirannya. Che Salmah menyamar sebagai Sally
dan menyewa rumah milik Pak Ali. Apabila melihat Sally, Pak Ali teringat akan Che Salmah kawannya semasa muda dahulu.

Pada masa yang sama Azhar dan isterinya amat gusar kerana ibunya yang hilang masih belum ditemui lagi. Che Salmah pula muncul tiba-tiba dengan penampilan seorang wanita cantik dan bersuara merdu diterima untuk menjadi penyanyi kumpulan muzik yang diketuai oleh Anas cucunya. Selepas habis latihan menyanyi, Anas menjemput Sally makan malam di rumahnya. Perangai Sally agak pelik kerana Sally bersikap seolah-olah dia ialah Che Salmah dan apabila dia tersedar, dia terus mengubah perangainya menjadi seperti Sally semula.

Dalam pada itu Azhar dan Amyza cuba menyiasat tentang bil kad kredit yang digunakan atas nama Che Salmah dan bertanyakan hal ini kepada Pak Ali. Kebetulan pada waktu itu Sally ada bersama. Melalui gelagat Sally, Azhar dan Amyza mengesyaki sesuatu tentang Sally. Amyza dan Azhar berasa hairan dan curiga tentang penampilan Sally yang cantik itu.

Dalam masa yang sama Karisma Records mempunyai harapan yang sangat tinggi akan kemampuan Sally sebagai
penyanyi yang hebat untuk memajukan syarikatnya. Adakah Che Salmah dapat mencari penawar mengubah kembali identiti dirinya? Ikuti kesudahannya di TV2.


Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.



Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

Scroll to Top